Ke Asapkoyan2u

09 Mac 2012

PENAN URUN DIBANTU: TAHNIAH YB LIWAN!!


BELAGA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam masa terdekat ini untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di luar bandar dengan tanaman komersial.

LUCU: Shafie (duduk, kanan) ketawa ketika berborak bersama (dari kiri) John, Liwan dan ketua kaum Penan Sipat Baya, ketika mereka duduk di tangga depan rumah baharu untuk kaum Penan selepas menyempurnakan penyerahannya.
Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kementerian itu melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan membantu masyarakat di luar bandar yang tidak mempunyai peluang ekonomi sebelum ini, membangunkan projek agropolitan dengan mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit, bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita akan berbincang dengan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan menterinya, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dalam masa terdekat ini, mengenai usaha RISDA yang mahu membantu membangunkan tanah-tanah terbiar di luar bandar yang sesuai (dengan tanaman getah dan kelapa sawit),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan Program Bantuan Rumah (PBR) kepada kaum Penan di Skim Penempatan Penan, Rumah Baya Sipat di Long Urun dekat sini, semalam.

Sebanyak 18 unit PBR diserahkan kepada kaum Penan di Rumah Baya Sipat, Long Urun di sini semalam.
Dalam perkembangan ber-kaitan beliau berkata, kerajaan akan terus membangunkan masyarakat luar bandar dengan menyediakan kemudahan membina dan memperbaiki rumah-rumah panjang, individu dan bantuan rumah untuk rakyat miskin menerusi peruntukan sebanyak RM100 juta, di seluruh negeri.

“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga sahaja, kita memperuntukkan sebanyak RM3.9 juta bagi menjayakan PBR ini, termasuk rumah-rumah panjang dan individu,” katanya.
Selain itu, kementerian kini sedang melaksanakan projek bekalan elektrik di luar bandar di seluruh negeri sama ada yang menggunakan kuasa solar, hidro, jana kuasa ataupun garisan grid, yang keseluruhannya menelan kos sebanyak RM1 juta. Projek ini akan siap dalam tempoh tiga tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata kerajaan khususnya KKLBW akan terus membangunkan kawasan luar bandar tidak kira sama ada yang paling terpencil mahupun yang paling sukar dihubungi.
“Cabaran-cabaran ini bukan halangan bagi saya dan kementerian untuk terus memajukan penduduk di luar bandar dan memastikan anda semua tidak terpinggir daripada menikmati pembangunan sebagaimana yang dirasai penduduk di bandar,” katanya.

Dalam majlis yang sama juga beliau turut meluluskan permintaan penduduk untuk memasang tenaga solar bagi menyalurkan bekalan elektrik di kampung berkenaan dan sebuah tadika untuk pendidikan awal anak-anak Penan di Long Urun.

Projek tersebut dijangka akan dilaksana mulai Julai ini selepas pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melatih guru untuk mendidik murid-murid terbabit. Kos bagi kedua-dua projek katanya, masih belum dapat ditentukan lagi.

Manakala projek graviti air bernilai RM450,000 yang telah diluluskan sebelum ini dijangka akan mulai dilaksanakan pada April depan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar (Hal Ehwal Masyarakat Penan) Datuk John Sikie Tayai, Menteri Muda Pertanian Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang, Timbalan Ketua Setiausaha KKLBW Datuk Yussof Wahab dan Ketua Pengarah KEMAS Hassan Mohd Amit serta Ketua Kampung Baya Sipat.

AK2U: Inilah harapan kita sebelum ini untuk melihat sinar baru bagi Penan Urun, Belaga. Kita mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada wakil rakyat DUN Belaga YB Liwan Lagang di atas bantuan kerajaan ini. Wakil rakyat yang sentiasa ingin mendengar suara rakyat serta rajin bekerja beginilah yang rakyat inginkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...