KUCHING: Terlalu awal untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermimpi pada
siang hari bahawa mereka akan dapat memberi impak yang besar pada
Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing (gambar) ketika dihubungi berkata: “Saya tidak percaya PKR dapat memberi impak yang besar pada PRU akan datang. “Saya
yakin Barisan Nasional (BN) Negeri akan dapat mempertahankan kesemua
kerusi kawasan Parlimen yang disandang ketika ini pada PRU akan datang,”
katanya.
Isnin lepas, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kunjungan ke Sarawak menyatakan keyakinan
bahawa mereka akan dapat memberi impak yang besar pada PRU-13.
Keyakinan
itu menurut Anwar adalah berdasarkan kepada hasil tinjauan yang
menunjukkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang
semakin menurun.
Masing yang juga merupakan Menteri Kemajuan Tanah
bagaimanapun menepis kenyataan itu dan berkata tahap populariti
seseorang itu adalah bergantung kepada responden itu sendiri.
“Pernahkah Anwar memberitahu sejauh mana popularitinya ketika ini, sama ada ia semakin menurun atau meningkat.
“Menurut
apa yang saya tahu, tinjauan tersebut hanya menunjukkan lima peratus
penurunan terhadap populariti PM dan ia adalah bergantung kepada
responden yang dinilai.
“Jika anda adalah penyokong PKR sudah
pasti akan mengatakan bahawa populariti PM semakin menurun dan begitulah
sebaliknya,” ujarnya.
Pada PRU 2006, BN Sarawak memenangi 30
daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan hanya Parlimen
Bandar Kuching jatuh ke tangan calon DAP, Chong Chieng Jen.
Bagaimanapun,
pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang diadakan pada 2010 berikutan
kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau, menyaksikan kerusi tersebut
bertukar tangan kepada DAP setelah calon BN tewas kepada calon DAP Wong
Hong Leng.
Ditanya mengenai perkembangan PRS, Masing berkata
setakat ini masih belum ada perbincangan dibuat berhubung calon-calon
yang akan bertanding pada PRU-13.
Sumber: Borneopost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda