Ke Asapkoyan2u

28 September 2011

ROMBAKAN KABINET SARAWAK: TAHNIAH KEPADA YB LIWAN LAGANG

KUCHING: Rombakan Kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini menyaksikan pembentukan sebuah kementerian baru, lima kementerian ditukar nama dan tujuh muka baru dilantik sebagai Menteri Muda.

Kementerian baru dalam rombakan Kabinet yang akan berkuatkuasa Jumaat ini ialah Kementerian Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga yang akan diketuai Datuk Fatimah Abdullah dan dibantu dua Menteri Muda yang juga muka baru iaitu Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat Vincent.

"Muka-muka baru Menteri Muda lain ialah Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr Jerip Susil dan Liwan Lagang," kata Taib pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.
Semua Menteri Muda baru itu akan mengangkat sumpah jawatan Jumaat ini.

YB Liwan Lagang
Taib berkata, Julaihi dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar; Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) manakala Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan).

"Semua menteri penuh dikekalkan dan sebahagian kementerian mereka ditukar nama," katanya.

Taib berkata, lima kementerian yang ditukar nama adalah Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi yang akan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Sosial diketuai Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan manakala Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam ditukar menjadi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti diketuai Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber akan dikenali sebagai Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar; Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar menjadi Kementerian Perumahan manakala Kementerian Pelancongan dan Warisan dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, kedua-duanya di bawah Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Taib yang mengekalkan porfolio Kementerian Kewangan serta Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, berkata tiada keperluan segera untuk pelantikan Timbalan Ketua Menteri kedua.

Beliau berkata, barisan Kabinet sedia ada dengan hanya seorang Timbalan Ketua Menteri yang dipegang oleh seorang lagi Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar sepatutnya tidak menjadi isu besar.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri kedua sebelum ini disandang Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan, kosong berikutan kekalahan beliau pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu.

Taib berkata, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing, dikekalkan sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan juga akan memegang portfolio Menteri Kanan bersama Sooh Koh dan Mawan.

Ketua Menteri itu berkata, peranan mereka sebagai Menteri Kanan adalah untuk menyelaraskan sesama mereka pembangunan khusus yang perlu dilaksanakan bersama.

Taib berkata, Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, dilantik menjadi Menteri Pembangunan Industri yang baru dan kekal sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar kedua serta Menteri Kemudahan Awam manakala Datuk Seri Michael Manyin kekal dengan portfolio sebagai Menteri Pembangunan Instruktur dan Komunikasi.

Taib berkata, tiga jabatan negeri negeri iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pihak berkuasa tempatan akan disusun semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...