Dalam Laporan terkini yang dilancarkan hari ini, Malaysia adalah negara ke 12 paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan. Kedudukan ini meletakkan Malaysia mengatasi negara-negara seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28). Bank Dunia mengumumkan penemuan ini dalam edisi terkini Laporan“Doing Business”. Laporan ini mengkaji 185 ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan, kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Laporan ini menyatakan Malaysia memperbaiki kedudukan daya saingnya dalam lima bidang menjalankan perniagaan iaitu: Kemudahan Bekalan Elektrik (dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah 2 dari tempat ke-59 ke tempat ke-33) ; Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11) dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
Malaysia berada di kedudukan ke-4 di dunia dalam kategori ‘Melindungi Pelabur’ dan di tempat pertama seiring dengan Afrika Selatan dan United Kingdom, dalam kategori ‘Kemudahan Mendapatkan Pinjaman’.
Laporan ini juga memuji Malaysia kerana menubuhkan PEMUDAH, sebuah jawatankuasa antara kementerian untuk membuat pembaharuan dalam peraturan dan prosedur perniagaan. Bank Dunia memperakui bahawa Malaysia adalah di antara sepuluh negara teratas di rantau APEC yang melakukan pembaharuan yang menunjukkan kemajuan yang terkehadapan dalam amalan peraturan.
Kedudukan terkini Malaysia di tempat ke-12 merupakan peningkatan yang memberangsangkan dari tempat ke-18 sebelumnya dan di kedudukan ke-23 pada tahun 2010, dan ini menunjukkan haluan daya saing yang meningkat sejak empat tahun yang lalu. Peningkatan sebanyak enam anak tangga di tempat ke-12 pada tahun ini merupakan lonjakan paling tinggi dalam kedudukan daya saing Malaysia.
Malaysia mengalu-alukan penemuan oleh Bank Dunia. Ia mengesahkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berdaya saing dan menggambarkan kejayaan Kerajaan dalam pelaksanaan memperbaiki persekitaran perniagaan serta menjadikannya lebih kondusif untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Bank Dunia juga memperakui agenda pembaharuan Kerajaan adalah didorong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Unit Pengurusan dan Prestasi Perlaksanaan (PEMANDU). Ini menggambarkan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam dan kecekapan keseluruhan jentera Kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Kerajaan juga komited dalam inisiatif pembaharuan strategik untuk menjadikan Malaysia negara paling berdaya saing di dunia. Matlamat Kerajaan adalah untuk mencapai kedudukan 10 teratas di dalam Laporan Bank Dunia yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur tempatan dan asing.
Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri,
Kuala Lumpur, Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda