Ke Asapkoyan2u

06 Februari 2013

JANGAN MUDAH TERPEDAYA JANJI BULAK PAKATAN: AARON DAGANG!

 



KANOWIT: Penduduk luar bandar terutama di kawasan Ngemah dinasihati supaya jangan mudah terpedaya atau percaya dengan pelbagai janji kumpulan tertentu yang dilaporkan bergerak aktif ketika ini.
 
Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Aro Dagang berkata pergerakan kumpulan terbabit dengan menyebar pelbagai dakyah memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya bertujuan untuk memancing undi.
 
“Maklumlah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin dekat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Babai Lunsa, Nanga Tada di sini, malam Jumaat lalu.
 
Majlis itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Babai.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie, Penghulu Ugak Seribu dan Tuai Rumah Babai.
 
Pada majlis itu, Aaron menyampaikan hamper kepada warga istimewa, cek insurans nyawa ahli RELA Kanowit Mendiang Stepan Geraji yang diterima oleh ayahnya, Geraji Lipa dan penyerahan pakaian ahli-ahli RELA Rumah Babai.
 
Aaron berkata kumpulan berkenaan hanya bergerak aktif apabila tarikh pilihan raya semakin dekat namun selepas itu mereka hilang entah ke mana.
 
“Adakah pemimpin seperti ini yang rakyat kehendaki. Lagipun mereka hanya bijak menabur pelbagai janji yang belum pasti dapat ditunaikan,” katanya.
 
Abu Seman yang juga Leftenan Kehormat RELA turut berucap pada majlis itu menggesa penduduk di Ngemah supaya menyokong calon BN pada PRU13 akan datang dan berwaspada dengan kehadiran orang yang tidak mereka kenali.
 
Menurut beliau, selama dua penggal Aaron menjadi Ahli Parlimen kawasan itu telah membuktikan keupayaan dan kebolehannya berkhidmat kepada rakyat malah penduduk di kawasan terbabit tidak ketinggalan mengecapi arus pembangunan.
 
“Saya yakin, penduduk di sini akan menikmati limpahan pembangunan lebih pesat selagi diwakili oleh calon BN.
 
“Dahulu untuk sampai ke sini terpaksa menaiki perahu, tetapi sekarang dengan menaiki kenderaan dari Sibu boleh sampai dalam masa lebih satu jam. Inilah saya katakan sebagai nikmat pembangunan,” katanya. -UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...