SIBU: Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Mauh Ikeh berpendapat parti itu layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 lalu.
Bagaimanapun, Mauh berkata beliau tidak berhasrat untuk ‘menidakkan’ kelayakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain bagi mengisi jawatan berkenaan.
Katanya, beliau cuma ingin menyuarakan realiti berdasarkan sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di negeri ini sejak dahulu lagi.
“Namun, ia kini terpulang kepada budi bicara Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau yang telah menerajui kepimpinan negeri hampir 30 tahun lebih arif dalam perkara ini,” kata Mauh ketika ditemui semalam.
“Sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, jawatan Timbalan Ketua Menteri bukan sahaja memerlukan wakil rakyat yang memperolehi mandat besar daripada rakyat, tetapi hendaklah arif merencanakan pentabiran negeri, lebih-lebih lagi dalam usaha memulihkan sokongan rakyat terhadap BN.”
Ditanya mengenai kabinet baru negeri yang bakal dibentuk dalam masa terdekat, Mauh berharap barisan pemimpin negeri menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh berwibawa.
Beliau juga berharap, kabinet baru nanti dapat memberi perhatian khusus terhadap soal pembangunan di kawasan pedalaman.
Mauh berkata, berdasarkan pilihan raya negeri lalu, rakyat di pedalaman masih mengharapkan BN sebagai tulang belakang mereka.
Oleh yang demikian, katanya, BN harus membalas sokongan itu dengan mengotakan segala janji mereka kepada rakyat di pedalaman.
“Kerajaan negeri dan persekutuan juga harus berani tampil dengan peruntukan besar bagi menyediakan keperluan rakyat di pedalaman,” tambahnya.
“Sebagai contoh, perlu ada peruntukan mencukupi disediakan bagi membolehkan agensi kerajaan bergerak ke kawasan pedalaman untuk menyediakan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan diri untuk rakyat di situ.”
Pandangan rakyat pedalaman terhadap senario politik pada hari ini, ujar beliau, telah berubah dan perlu diberi perhatian serius.
Sampai pada satu ketika, katanya, politik idealogi yang diamalkan penduduk bandar akan menular ke pedalaman dan akhirnya menyebabkan rakyat pedalaman menolak politik realiti yang diketengahkan BN.
Sementara itu, pemerhati politik Dr Johnny Kieh percaya BN tidak menghadapi masalah bagi membentuk kabinet negeri yang baru.
“BN mempunyai ramai barisan pemimpin yang berkaliber termasuk pemimpin pelapis… cuma yang dibimbangi ialah mengenai kesanggupan serta kesungguhan pemimpin yang dilantik menggalas tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kabinet baru negeri juga, katanya, hendaklah berkeupayaan menyelesaikan isu serta permasalahan yang menyelubungi rakyat seperti isu tanah.
Menurut beliau, sekiranya isu-isu sebegini tidak ditangani dengan segera, besar kemungkinan rakyat akan tidak berpuas hati sekali gus mempersoalkan kemantapan kabinet baru.
Johnny turut mencadangkan supaya wakil rakyat yang dilantik menjawat jawatan menteri diberi kuasa penuh.
“Ini bertujuan untuk mengelak berlakunya komplikasi dalam membuat sebarang keputusan… sebagai contoh isu tanah, bila terdapat beberapa menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan, sudah pasti akan berlaku percanggahan pendapat yang akhirnya membawa kepada pertelagahan,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda