Ke Asapkoyan2u

02 April 2012

BP: Kurang Fahan punca ahli politik di pandang serong!


Kurang faham mengenai konsep berpolitik menyebabkan sesetengah pihak beranggapan ahli politik orang ‘kotor’

MIRI: Kurang faham mengenai konsep berpolitik menyebabkan sesetengah pihak memandang rendah ahli politik hingga ada yang memandang serong dan beranggapan semua ahli politik ialah orang ‘kotor’.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, ‘kotor’ yang dimaksudkan mereka ialah terlibat dengan rasuah, penyelewengan, tidak mampu menunaikan amanah rakyat dan sebagainya.

Sedangkan politik katanya, adalah amat penting dalam memimpin sesebuah negara dengan tidak semua ahli politik adalah ‘kotor’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak terutama mereka yang tidak faham dan tidak tahu mengenai politik.

“Malah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah turut memerlukan unsur-unsur politik untuk membimbing negara mereka.

“Cuma bezanya cara mereka mempraktikkan politik mereka dengan kita di Malaysia, agak berbeza.
“Corak politik mereka lebih berani dan secara terang mencerca dan memaki sesama sendiri hingga sanggup mendedahkan segala yang peribadi.

“Sebaliknya di negara kita, kita masih ada batas dan susila kerana peradaban kita yang lebih tinggi,” katanya.

“Oleh sebab itu ada kalanya saya tidak faham jika ada orang yang tidak tahu-menahu mengenai politik, berpandangan serong dengan beranggapan dan melihat seorang ahli politik sebagai kotor,” tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis makan malam ‘Toastmaster Charter Night’ di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh empat Kelab Toastmaster (TMC) di Miri iaitu Alpha Diamond Excel Miri TMC, Permyjaya Bilingual TMC, Alpha Miri Hakka TMC dan Miri Sainsri TMC.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, situasi politik di Malaysia termasuk di negeri ini masih pada tahap yang terkawal dengan adanya peradaban yang tinggi di mana para pemimpinnya tahu membezakan antara perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat atau dilakukan serta tidak mengambil tindakan membabi buta.
“Sebagai masyarakat yang berdemokrasi, kita tidak dapat tidak perlu ada politik yang membantu membimbing negara dan menentukan hala tuju negara ini,” katanya.

Oleh yang demikian beliau meminta rakyat di negara ini supaya menghormati demokrasi yang ada di negara ini kerana melalui demokrasi rakyat mempunyai hak untuk memilih pemimpin dan ahli-ahli politik pula tidak perlu menjadi terlalu terbuka dan berani hingga merendahkan sesama sendiri di hadapan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Chin memberitahu bahawa untuk menjadi seorang ahli politik yang baik dan senang diterima masyarakat, seseorang itu perlu memiliki kemahiran berkomunikasi.
“Kalau mahu masuk politik, harus pandai berkomunikasi dengan orang ramai.

“Tanpa komunikasi yang bagus, ia tidak akan membawa apa-apa makna politik bagi seorang ahli politik,” katanya.

Oleh yang demikian kata Chin, beliau amat bersetuju dengan motto TMC iaitu ‘Komunikasi Ke Arah Kepimpinan Cemerlang’ kerana kemahiran komunikasi mampu melahirkan seorang pemimpin yang cemerlang sama ada dalam memimpin negara, organisasi mahupun pertubuhan dan kelab.

Pada majlis yang sama Chin dan Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin turut menyaksikan majlis pelantikan ahli jawatankuasa kelab-kelab berkenaan dan penyerahan sijil cabang kelab kepada teraju atau pengerusi baharu daripada jawatankuasa induk yang lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...