Ke Asapkoyan2u

23 Ogos 2011

YB DATUK BILLY: KUALITI AIR TASIK BAKUN TERANCAM

Rumah terapung yang kian banyak didirikan dikhuatiri boleh mencemarkan tasik terbesar di Asia Tenggara itu

BELAGA: Rumah terapung atau dikenali sebagai “Jelatong” di kalangan penduduk tempatan, kini kian banyak dibina di tasik Empangan Hidroelektrik Bakun (Empangan Bakun) di sini.

Pemilik adalah kebanyakkan penduduk Orang Ulu yang terjejas dengan pelaksanaan empangan yang berharga RM7 bilion.

Tuan punya rumah terapung itu adalah dari Skim Penempatan Sungai Asap yang menggunakan Jelatong untuk mereka beristirehat semasa hujung minggu atau bagi membela ikan “Baong”, “Semah” dan spesies ikan lain.

Mereka yang lebih bersemangat keusahawanan menjadikannya rumah terapung sebagai tarikan kepada pelancong dan peminat memancing pada hujung minggu.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo melahirkan rasa kebimbangannnya dengan kemunculan rumah terapung itu yang mungkin menjejaskan kualiti air tasik tersebut.

“Sememangnya kini ia (fenomena rumah terapung) membimbangkan kerana tasik itu sangat besar. Kawasan permukaan takungan air itu dijangka meliputi kawasan seluas 70,000 hektar kira-kira sama saiznya dengan keseluruhan Singapura.

“Tetapi apabila lebih ramai orang mula membina rumah terapung, kualiti air boleh terjejas apabila bahan buangan dan sistem pembetungan yang tidak dirawat mengalir terus ke tasik,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata keadaan ini kritikal memandangkan rancangan untuk membangunkan potensi pelancongan tasik dan industri perikanan dalam sangkar.

“Ikan Talipia yang diternak adalah untuk pasaran Eropah yang mendapat permintaan tinggi,” kata beliau.

Abit berkata beliau telah menyuarakan kebimbangan mengenai rumah terapung ini kepada pihak berwajib.

Beliau berkata garis panduan tertentu mesti diadakan mengenai pembinaan dan penjagaan rumah terapung khasnya berkaitan bahan buangan dan tandas untuk memastikan air tasik sentiasa bersih.

Abit berkata Sarawak Hydro, badan yang bertanggngjawab mengenai empangan itu lebih mementingkan kawasan di sekitar empangan itu.

Menurut seorang peniaga Luhat Tugau, 45, dari rumah panjang Uma Juman di Sungai Asap, kini terdapat tidak kurang daripada 50 rumah terapung di tasik berkenaan.

Perintis kemudahan seperti itu berkata terdapat kira-kira 15 rumah terapung di kawasan berhampiran empangan tersebut.

Luhat yang mengusahakan perkhidmatan pengangkitan bot laju dan sebuah rumah terapung berkata kadar penginapan di rumahnya adalah baik pada hujung minggu dan semasa cuti umum pengunjung adalah dari Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.

“Tasik adalah tempat bagi orang ramai menghargai alam semulajadi yang tidak tercemar dan mereka yang ingin memancing ikan Baong untuk juadah makan tengah hari atau malam.

Terdapat dua kawasan air terjun seperti Benalum dan Long Besungei di Sungah Pangah,” kata beliau.

Luhat yang memulakan perniagaannya mulai tahun ini, bercadang membina sebuah lagi rumah terapung dan menyediakan kemudahan aktiviti jet ski dan berkayak untuk tarikan kepada pelancong.

Mereka yang ingin menyaksikan empangan konkrit kedua tertinggi di dunia itu boleh menghubungi Luhat di 017-8535394. — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan anda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...